Tersurat dan Tersirat

Kehidupan sentiasa dipenuhi hikmah. Terpulang kepada kita untuk melihat secara tersurat atau tersirat. "...tidakkah kamu berfikir?."
Showing posts with label Monolog Sendiri. Show all posts
Showing posts with label Monolog Sendiri. Show all posts

Monday, January 30, 2012

Saya Penakut

Jari sudah tidak biasa menari-nari di keyboard. Jari-jemari semakin biasa dengan pen basah, berus dan juga gitar. Ajaibnya manusia berubah seperti air, dari cecair menjadi pepejal dan boleh juga menjadi gas.

Umur semakin meningkat dewasa. Acapkali diajukan soalan-soalan cepu emas. Namun diri, apakan daya, masih mencari-cari di merata-rata. Lagipun, ilmu yang saya baru mula belajar ini, seolah-olah enggan melepaskan saya ke alam baru. Banyak persoalan, banyak jawapan, banyak cerita.

Ya, saya memang penakut. Penakut untuk menerima dan memberi cinta kepada makhluk Tuhan yang bergelar adam. Banyak cerita, banyak buku ceritera cinta yang saya baca dan menunjukkan betapa seksanya menyintai dan dicintai.

Andai menyinta, tidak mungkin kan dicinta kembali. Ya, pengalaman banyak mengajar saya kerana acapkali saya menyinta dengan permulaan rasa yang suka-suka, semua pasti tak menjadi. Berterus-terang di sini, yang saya suka semuanya sudah berpunya dan ada juga yang sudah mahu menjadi bapa. Apakan daya, tidak pernah tersedar mereka akan kewujudan diri ini.

Andai dicintai, saya tidak pandai untuk menyinta kembali. Kerana itulah, saya memang penakut. Kerana saya pastikan kasihan sahaja pada insan yang menyinta itu. Lalu, akan bertukarkah rasa kasihan menjadi rasa cinta? Dari pengalaman saya, tidak pernah. Cuma sekadar teman bicara.

Oh, bagaimanakah rasa cinta itu? Menyintai dan dicintai..Pasti indah..Samakah cinta dan sayang? Saya sayang keluarga saya. Saya sayang teman-teman dari zaman kanak-kanak ribena hingga saya dewasa ini. Tapi bagaimana untuk saya mencinta? Sangat janggal dan saya sendiri mungkin tidak akan faham andai suatu hari nanti saya bisa mengungkapkan "Saya cintakan awak " atau " I love u" ..

orgkecil : ada teman sekelas yang membuat hati agak berdegup kencang tetapi rasa selamat bila dia memulakan bicara .. apakah itu?


Wednesday, September 21, 2011

Gelodak Kepala


Satu perjalanan yang panjang, perlu dilalui oleh makhluk yang bergelar insan. Ruang-ruang waktu yang membataskan setiap perbuatan. Dan berbezanya setiap insan itu adalah kerana imannya. Tapi itu hanya Tuhan yang pandang. Insan-insan itu memandang setiap mereka melalui kaca mata dan dunia semata. Ya, saya juga begitu.

Manusia itu tercipta lemah namun untuk menjadi kuat bergantung kepada individu dan izin dariNya. Saya bukan seorang ilmuan agama untuk menceritakan tentang kejadian manusia dan suratannya. Cukuplah untuk mengetahui bahawa manusia itu asalnya tanah yang kita pijak-pijak sekarang ini.

Manusia itu sama saja sifatnya. Pelupa. Manusia itu, keji sikapnya. Aduh, bergelodak kepala. Berputar-putar mata melihat perangai dan sikap. Ye lah, manusia itu berbeza-beza sifatnya. Andai sama saja, tak best pula.

Diri ini, hanya kecil di mata dunia. Tidak terperasan dek manusia lain. Wujud pun, macam tak wujud. Mati pun, macam tak mati. Macam butiran habuk yang ditiup angin lalu.

Tuesday, September 20, 2011

Gelodak Rasa

Ada masa terluang hari ini. Lapang sebelum sempit, tak sibuk sebelum sibuk. Ungkapan hati yang tak terungkap. Melonjak-lonjak nafas dan tersekat-sekat di kerongkong, semua kerana kisah-kisah lama yang mencuit. Pedulilah kata orang ; " asal baca je kat blog budak ni, sume cite yg feel2" .


Ah, peduli kata mereka. Mereka orang yang ego tinggi, ya, mungkin. Mereka tak mahu bercerita bagi menghilang rasa mencucuk-cucuk di benak qolbu dan fikiran. Mungkin mereka punya cara mereka sendiri untuk tidak kisah itu semua.

Mungkin mereka kata hati mereka keras. Ye lah, bagai disalut cangkerang keras [ konon-kononnya] . Tak lah, sebenarnya qolbu mereka lagi lembut dari orang yang selalu menitiskan air mata. Ye, saya mengaku saya nampak kasar tapi selalu menitiskan air mata bila qolbu terusik walaupun dah berusaha untuk tidak merasa.


[sambung tentang kisah lama] . Ruang fasa hidup dulu, lagi terasa keremajaannya berbanding sekarang walaupun fasa hidup sekarang ini dikelilingi oleh remaja muda-mudi, tapi umur semakin meningkat. Mungkin itulah yang menjadi penghalang untuk diri ini melakukan aktiviti seperti muda remaja dulu. Tersekat-sekat nafas di kerongkong, menahan gelodak jiwa.

orgkecil : memang ske mengarut,,

Saturday, September 17, 2011

Jalan-jalan di padang ragut


Satu ruang masa yang panjang, tempat ini telah saya kosongkan. Oleh kerana semester baru sudah bermula, maka bermulalah penceritaan, penderitaan dan kisah duka-ceria. Hati yang tersentuh mula berkata-kata dalam diam mulutnya.

Kerana terlalu peduli rasa hati orang lain, diri sendiri terluka. Kebal hati kerana ia memang tidak pernah berhenti tersakit luka berdarah. Ataupun, sisa-sisa luka yang masih belum kering itu berdarah kembali. Ya, niat asal mahu membantu sekadar termampu. Rupanya daya yang tiada terhingga.

Lalu terimbaulah kata-kata seorang teman : " Hati-hati membantu rakanmu itu, kerana nanti kamu yang sakit" .. Dan juga ungkapan tentang mengutip bunga tercantik di satu padang ragut ; petiklah sahaja bunga yang ada kamu jumpa, kerana kamu tak tahu bila lagi kamu akan berjumpa dengan bunga yang cantik lagi di depan sana".

Ya Tuhan, bantu diri ini untuk ikhlas dalam setiap perbuatan. Ya, ikhlas tak dapat diungkap. Sayang dan kasihnya diri ini juga tak terungkap dek mulut, hanya terpancar dengan perbuatan. Wahai hati di qolbu, maafkan tuanmu yang tak mampu menjaga dirimu sebaiknya. Selalu saja disakiti.

Ternyata diri ini tak mampu bergerak sendirian di padang ragut ini. Ya lah, mungkin kerana terlalu obses mencari bunga tercantik di padang ragut yang nyata amat kurang jumlah bunga yang tumbuh berputik harum mekar. Sedangkan ada saja bunga-bunga yang biasa. Bodoh sombong, tak mahu bertanya bolehkah dipetik bunganya.

Ruang padang ragut ini, perlu terus dilalui. Tidak kira langkah yang terhasil itu lemah-longlai, berdengkot-dengkot atau laju berlari, menari-nari. Berjumpa atau dipetik bunganya atau tidak dipetik, sama saja. Langkah diteruskan dalam darah luka-luka sambil terus mengharap kan terjumpa lagi bunga harapan itu.