Tersurat dan Tersirat

Kehidupan sentiasa dipenuhi hikmah. Terpulang kepada kita untuk melihat secara tersurat atau tersirat. "...tidakkah kamu berfikir?."

Monday, January 30, 2012

Saya Penakut

Jari sudah tidak biasa menari-nari di keyboard. Jari-jemari semakin biasa dengan pen basah, berus dan juga gitar. Ajaibnya manusia berubah seperti air, dari cecair menjadi pepejal dan boleh juga menjadi gas.

Umur semakin meningkat dewasa. Acapkali diajukan soalan-soalan cepu emas. Namun diri, apakan daya, masih mencari-cari di merata-rata. Lagipun, ilmu yang saya baru mula belajar ini, seolah-olah enggan melepaskan saya ke alam baru. Banyak persoalan, banyak jawapan, banyak cerita.

Ya, saya memang penakut. Penakut untuk menerima dan memberi cinta kepada makhluk Tuhan yang bergelar adam. Banyak cerita, banyak buku ceritera cinta yang saya baca dan menunjukkan betapa seksanya menyintai dan dicintai.

Andai menyinta, tidak mungkin kan dicinta kembali. Ya, pengalaman banyak mengajar saya kerana acapkali saya menyinta dengan permulaan rasa yang suka-suka, semua pasti tak menjadi. Berterus-terang di sini, yang saya suka semuanya sudah berpunya dan ada juga yang sudah mahu menjadi bapa. Apakan daya, tidak pernah tersedar mereka akan kewujudan diri ini.

Andai dicintai, saya tidak pandai untuk menyinta kembali. Kerana itulah, saya memang penakut. Kerana saya pastikan kasihan sahaja pada insan yang menyinta itu. Lalu, akan bertukarkah rasa kasihan menjadi rasa cinta? Dari pengalaman saya, tidak pernah. Cuma sekadar teman bicara.

Oh, bagaimanakah rasa cinta itu? Menyintai dan dicintai..Pasti indah..Samakah cinta dan sayang? Saya sayang keluarga saya. Saya sayang teman-teman dari zaman kanak-kanak ribena hingga saya dewasa ini. Tapi bagaimana untuk saya mencinta? Sangat janggal dan saya sendiri mungkin tidak akan faham andai suatu hari nanti saya bisa mengungkapkan "Saya cintakan awak " atau " I love u" ..

orgkecil : ada teman sekelas yang membuat hati agak berdegup kencang tetapi rasa selamat bila dia memulakan bicara .. apakah itu?