Tersurat dan Tersirat

Kehidupan sentiasa dipenuhi hikmah. Terpulang kepada kita untuk melihat secara tersurat atau tersirat. "...tidakkah kamu berfikir?."

Sunday, November 20, 2011

Ilham & Rekabentuk Ruang

Perap-perap kepala terperap, idea terperangkap.

Denyut kepala , mengurut-urut, moga cepat surut.

Sudah dikata orang, kerana saya gila orangnya. Menempah jalan susah demi cita-cita dunia yang entah ke mana hujungnya. Jalan susah itu yang saya pilih dan inilah, di sepanjang lorong denai yang belum nampak cahaya di penghujung, saya terkontang-kanting gelabah mencari nafas segar. Agar termampu dek akal fikiran dan badan menjalaninya hingga ke penghujung ruang cahaya itu.

Tidak kuat dan mampu jalan sendiri, bukan bermakna saya lemah dan bergantung harap. Tapi itu hakikat manusia, tiada kuat dia sendiri kerana andai ada kekuatan, itu kekuatan dari Tuhan. Kena ingat itu semua. Ruang untuk semua manusia itu ada, ruang yang diberi oleh Tuhan, pemilik segala ruang yang ada di muka bumi ini.

Bahkan ruang untuk kita rekabentuk untuk pelanggan yang kita pilih juga milik Tuhan. Ilham rekabentuk yang datang dalam mimpi, yang datang tiba-tiba tatkala dalam jalan sunyi sendiri atau dalam kita sendirian di ruang kecil itu, semua dari Tuhan.

Dan sekiranya ilham yang kita cari untuk ruang-ruang itu, menemui sekatan jalan, juga Tuhan yang tentukan. Kenapa dan mengapa. Saya sendiri tiada jawapan pasti. Tuhan punya rencananya sendiri. Mungkin boleh dikatakan sebabnya, adalah kerana Tuhan mahu didik kita untuk sentiasa berusaha atau mungkin Dia mahu kita sentiasa ingat akan kewujudanNya dan kekuasaanNya dalam memberi ilham, idea atau buah fikiran.

Ya lah, kita seharian atau semingguan, sibuk memikirkan hal dunia yang tidak sudah-sudah ini. PanggilanNya yang lima kali sehari itupun, kita lengah-lengahkan. Tapi kalau panggilan atau pesanan ringkas berbunyi di handphone, kita segerakan; atas alasan, nanti merajuk makwe/pakwe. Hanya memikirkan rajuknya manusia, rajuk yang berterusan, penuh emosi.

Rajuknya Tuhan? Dia tiada pernah emosi dan rajuk-rajuk. Andai ada rajuknya, ya lah, mungkin seperti ini, memberi sekatan idea dan ilham untuk rekabentuk ruang untuk pelanggan, supaya nanti kita duduk kembali muhasabah; mengapa selalu saja menemui jalan buntu; mengapa tiada ruang untuk kita berfikir.


Ampuni dosa kami yang leka dengan hal dunia yang tiada kesudahannya ini. Kami insan lemah, tak tahan godaan dunia, leka bermain , membiar waktu berlalu. Bantu kami membersihkan sekatan di jalan buntu ini. Semoga nanti ada sinar ilham dan ruang yang terbaik untuk kami berikan kepada pelanggan kami. Semoga pelanggan kami itu juga nanti merasai ruang-ruang indah ciptaanMu.

orgkecil : rindu dengan ruang-ruang yang penuh sinar warna-warni, bukan kelabu menyelubungi

No comments: