Tersurat dan Tersirat

Kehidupan sentiasa dipenuhi hikmah. Terpulang kepada kita untuk melihat secara tersurat atau tersirat. "...tidakkah kamu berfikir?."
Showing posts with label Hikmah. Show all posts
Showing posts with label Hikmah. Show all posts

Sunday, November 20, 2011

Ilham & Rekabentuk Ruang

Perap-perap kepala terperap, idea terperangkap.

Denyut kepala , mengurut-urut, moga cepat surut.

Sudah dikata orang, kerana saya gila orangnya. Menempah jalan susah demi cita-cita dunia yang entah ke mana hujungnya. Jalan susah itu yang saya pilih dan inilah, di sepanjang lorong denai yang belum nampak cahaya di penghujung, saya terkontang-kanting gelabah mencari nafas segar. Agar termampu dek akal fikiran dan badan menjalaninya hingga ke penghujung ruang cahaya itu.

Tidak kuat dan mampu jalan sendiri, bukan bermakna saya lemah dan bergantung harap. Tapi itu hakikat manusia, tiada kuat dia sendiri kerana andai ada kekuatan, itu kekuatan dari Tuhan. Kena ingat itu semua. Ruang untuk semua manusia itu ada, ruang yang diberi oleh Tuhan, pemilik segala ruang yang ada di muka bumi ini.

Bahkan ruang untuk kita rekabentuk untuk pelanggan yang kita pilih juga milik Tuhan. Ilham rekabentuk yang datang dalam mimpi, yang datang tiba-tiba tatkala dalam jalan sunyi sendiri atau dalam kita sendirian di ruang kecil itu, semua dari Tuhan.

Dan sekiranya ilham yang kita cari untuk ruang-ruang itu, menemui sekatan jalan, juga Tuhan yang tentukan. Kenapa dan mengapa. Saya sendiri tiada jawapan pasti. Tuhan punya rencananya sendiri. Mungkin boleh dikatakan sebabnya, adalah kerana Tuhan mahu didik kita untuk sentiasa berusaha atau mungkin Dia mahu kita sentiasa ingat akan kewujudanNya dan kekuasaanNya dalam memberi ilham, idea atau buah fikiran.

Ya lah, kita seharian atau semingguan, sibuk memikirkan hal dunia yang tidak sudah-sudah ini. PanggilanNya yang lima kali sehari itupun, kita lengah-lengahkan. Tapi kalau panggilan atau pesanan ringkas berbunyi di handphone, kita segerakan; atas alasan, nanti merajuk makwe/pakwe. Hanya memikirkan rajuknya manusia, rajuk yang berterusan, penuh emosi.

Rajuknya Tuhan? Dia tiada pernah emosi dan rajuk-rajuk. Andai ada rajuknya, ya lah, mungkin seperti ini, memberi sekatan idea dan ilham untuk rekabentuk ruang untuk pelanggan, supaya nanti kita duduk kembali muhasabah; mengapa selalu saja menemui jalan buntu; mengapa tiada ruang untuk kita berfikir.


Ampuni dosa kami yang leka dengan hal dunia yang tiada kesudahannya ini. Kami insan lemah, tak tahan godaan dunia, leka bermain , membiar waktu berlalu. Bantu kami membersihkan sekatan di jalan buntu ini. Semoga nanti ada sinar ilham dan ruang yang terbaik untuk kami berikan kepada pelanggan kami. Semoga pelanggan kami itu juga nanti merasai ruang-ruang indah ciptaanMu.

orgkecil : rindu dengan ruang-ruang yang penuh sinar warna-warni, bukan kelabu menyelubungi

Thursday, December 2, 2010

Tanya Sama Tuhan

Betullah kata mereka yang berilmu bahawa, sekiranya kita berjauhan dari Tuhan maka hidup kita akan terumbang-ambing macam kapal dalam ribut. Sejujurnya, saya seringkali hilang arah tuju, namun, tidaklah terlalu jauh kerana Tuhan masih sayangkan orang kecil ini. Setiap yang berlaku itu bukanlah kebetulan tetapi telah ditetapkan. Kerana itulah setiap yang berlaku punya sebab dan hikmahnya.

"Buatlah solat istikharah" pesan seseorang kepada saya. Ya, akhirnya saya bersujud malu kepada Tuhan kerana selama 22 tahun mengejar cita-cita dan membuat pilihan, sekali pun saya tidak pernah bertanya kepada Tuhan dengan istikharah. Hanya berpandu kepada akal yang dicampuri emosi.

Selepas melaksanakan istikharah, kitab suci paling agung saya buka. Patutlah gelisah sering menghantui sebulan 2 ini. Kitab ajaib ini, tidak dibaca dan diselak saban hari. "Oh, dulu berhenti, dah habis satu surah. Mula surah baru la ni" .. Surah Al-Isra' dibaca, berserta dengan maknanya sekali. Nah, Tuhan menjawab segala perbicaraan saya.

1. Tentang tawaran-tawaran interview, bekerja dan tawaran mengejar impian yang saya dapat [alhamdulillah].

"...Kami berikan bantuan dari kemurahan Tuhanmu. Dan kemurahan Tuhanmu tidak dapat dihalangi "- ayat 20

2. Apabila merasakan diri ini agak mudah mendapat tawaran bekerja berbekalkan keputusan yang agak baik.

" Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembusi bumi dan sekali-kali kamu tidak akan sampai setinggi-tinggi gunung. " -ayat 37

3. Tentang kealpaan saya yang agak lama tidak membuka kitab ajaib dari Tuhan(Al-Quran)

" Dan sesungguhnya dalam Al-Quran ini kami telah mengulangi (peringatan2), agar mereka selalu ingat..." -ayat 41

Sebelum membaca ayat yang seterusnya, tergerak hati saya untuk membaca makna ayat ke-36 surah Al-Isra' ini

" Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesunguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabnya."

Adakah berbekalkan ayat ke-36 itu, adakah saya akan memilih untuk bekerja berbanding pilihan untuk belajar mengejar impian? Hmm, saya belum pasti.

Perlu lebih banyak bertanya dan berbicara dengan Tuhan, sebab, sebenarnya, Dia lebih tahu masa depan kita. Samaada jalan yang bakal kita lalu esok ni, baik atau tidak untuk kita. Lagipun, Dia yang tulis segala-galanya tentang kita. Kan? kan?

Ha, kan semuanya punya jawapan. Bukak je kitab ajaib kita tu. Semua ada kat dalam tu.


Saturday, October 9, 2010

Sabar&InsyaAllah

Ini satu lagu yang saya nanti-nantikan untuk dinyanyikan kepada yang berhak. Bersabarlah, suatu hari nanti. InsyaAllah ^__^

...For the rest of my life
I`ll be with you

I`ll stay by your side honest and true

Till the end of my time

I`ll be loving you.loving you

For the rest of my life

Thru days and night

I`ll thank Allah for open my eyes

Now and forever I...I`ll be there for you
...

...cinta tu macam madu kalau nak kena dapatkan beehives kena urung kena sengat sampai lebam bengkak kesakitan, baru boleh dapat... - Cinta Itu Macam Madu

Nak dapatkan cinta itu payah. Kalau mahu cinta manusia, kenalah meminta izin dan mendapat cinta daripada Penciptanya dulu. Ada yang kata, hidup akan lagi jadi mudah dengan cinta.

Wallahu'alam...

Tuesday, October 5, 2010

Betik Oh Betik..

Betik itu betik muda,
Isinya kelat-kelat, ada manis sedikit.
Mereka kata,
biarpun betik muda bergetah,
sedap dibuat kerabu betik.
Itulah,
kerabu betik perlu dicampur dengan bahan-bahan lain,
untuk menjadikannya sedap.
Perlu ditambah bawang, limau, cili api..
Betik muda itu tak enak dimakan begitu sahaja.

Betik itu betik tua,
Dibiarkan masak tanpa berusik hingga ke tua,

Lihat,
Apa jadi padanya?
Isinya busuk, manisnya tiada.
Kasihan,
Betik tua tidak enak dimakan.

Betik itu betik masak,
Baru sahaja ranumnya si buah betik,
Getahnya tiadalah sangat,
Manisnya bukan main,
Tak perlu ditambah bahan lain,
Enak dimakan begitu sahaja.

Betik atau nama saintifiknya
Carica papaya.
Manusia atau nama saintifiknya
Homo sapiens.
Ciptaan Tuhan, Allah Yang Satu.
Terkandung pada setiap ciptaanNya itu,
perkara yang tersurat dan tersirat.


[istilah betik ini dipinjam dari novel Tunggu Teduh Dulu, Faisal Tehrani]

Friday, October 1, 2010

Istighfar&Sabar&Rajin


Sedang kita menuju cita-cita,
Pasti ada ablasa mengugat jiwa,

Istighfarlah,

kerana musuh itu tiada tenteram..


Maka,

Sabar dengan gelodak itu,

Dan rajin serta bersemangatlah.


Perlu ingat,

Nasib seseorang itu terletak di tangannya sendiri,

Andai diberi izin Tuhan,

InsyaAllah,

Pasti tercapai cita dan impian.


Takkan sampai ke atas andai tidak dinaiki tangga..
Takkan sampai ke puncak andai tidak didaki gunung..


You'd made your life,
You're making your life,

You'll make your life..


Wednesday, September 29, 2010

Benci Cinta

Dalam kebencian dan kemarahan,
ada kasih sayang dan cinta.

Dalam kekecewaan mencari cinta manusia,
ada cinta dan kasih Tuhan,

yang tiada bertepi.



Monday, September 27, 2010

Idea & Bunga


Sungguh lama tidak menulis.

Sebabnya, inspirasi dan masa tidak digunakan sebaiknya.

Konon-kononnya, mencari ilham yang lebih baik.

Namun tidak berkesudahan dengan menaip di kekunci ini.

Ibaratnya kita mencari hanya satu bunga yang paling cantik di taman yang luas tanpa boleh menoleh ke belakang. Sudah berjumpa yang cantik, namun ditinggalkan kerana beranggapan bahawa di depan nanti, pasti berjumpa dengan yang paling cantik. Dan akhirnya, tiada satu pun bunga yang cantik dibawa pulang.

[Semoga diri kembali istiqomah menulis ^__^]